SEKAPUR SIRIH

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Tuan puan yang budiman,

Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kerana sudi melayari laman website kami. Tidak lupa saya mengucapkan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Taala kerana dengan keredhaan-NYA maka dapat kami membuka laman ini bagi menyambung silaturahim dengan tuan/puan muslimin muslimat yang dirahmati sekalian. Dalam ruangan ini izinkan saya memperkenalkan Pertubuhan kami, hasrat dan harapan.

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Semarak (PKAYS) ditubuhkan pada 21 Jun 2008 dan didaftarkan pada 10 Nov. 2008. Dalam usia yang masih muda sudah tentu banyak urusan-urusan organisasi dan penyediaan prasarana yang diperlukan. Pertubuhan adalah badan kebajikan sukarela yang bukan bermotif komersial. Sumber kewangan dan barangan adalah daripada ehsan dermawan.

Premis rumah banglo yang disedekahkan oleh seorang hamba Allah adalah pusat operasi kami. Rumah sedia ada ini hanya dapat menampung maksimum 10 orang anak-anak (laki-laki sahaja) dan seorang penyelia. Dengan itu kami bercadang untuk membina bangunan tambahan 2 tingkat untuk asrama dan dewan serbaguna di halaman yang masih kosong. Seruan Derma Wakaf untuk mengumpul dana ke arah tujuan ini sedang giat dijalankan.

Kami juga ada merekodkan seramai 76 orang anak-anak yatim miskin di sekitar berdekatan yang kami kategorikan sebagai ‘Anak Yatim/Miskin Luar’ kerana mereka masih tinggal dengan ibu/penjaga masing-masing. Mereka ini juga memerlukan perhatian dan bantuan.

Izinkan saya memaklumkan disini bahawa kami ada menganjurkan khemah ibadah/motivasi serta lawatan pendidikan secara berkala, kelas bimbingan, bantuan Aidil Fitri dan bantuan lain atas permohonan untuk menafaat mereka.

Selain dari projek binaan bangunan tambahan, kami amat memerlukan sebuah van atau ‘coaster’ (terpakai pun memadai) guna untuk pengangkutan anak-anak ini.

Menyedari sesungguhnya kita ada tanggungjawab bersama terhadap anak-anak yatim dan miskin maka warga Pertubuhan mengalu-alukan kerjasama dan sokongan seluruh muslimin dan muslimat bagi menjamin kelangsungan usaha kami. Kerjasama dan sokongan tidak semestinya dalam bentuk kebendaan dan ringgit sahaja, bahkan kami juga mengalu-alukan sumbangan dari segi tenaga kerja sukarela dan kepimpinan secara aktif dengan menjadi ahli Pertubuhan ini, Insya-Allah.

Sekian. Terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
Yang Ikhlas,

(HAJI ABD RAHIM BIN HAJI YAAKUB)
                        Pengerusi